Kenapa Suami Berasa Panas & Rimas Bila Didekati Isteri?

2,482

Soalan :

Saya tidak tidur bersama suami sejak beberapa bulan yang lalu. Suami saya menjauhkan diri daripada saya. Setiap kali saya mendekatinya dia merungut dengan mengatakan “panas, rimas dan jauh daripada aku, aku tidak boleh mendekati kamu.” Apabila saya mengajaknya untuk berubat dia tidak mahu. Dia mendakwa saya yang sakit dan perlu diubati. Ramai pengubat yang saya temui mengatakan suami saya disihir. Sekiranya benar, apakah yang perlu saya lakukan untuk mengatasi masalah ini? (Aniza, Kuala Lumpur)

Jawapan :

Kebiasaanya dalam rumah tangga memang banyak berlaku masalah. Salah satunya seperti kisah yang saudari sebutkan. Permasalahan sebegini memang sering berlaku dan saya sering diajukan masalah seperti ini.

Terdapat ramai ahli perubatan dengan mudah menyimpulkan serta mengaitkan masalah ini dengan sihir. Bagaimanapun saya sendiri tidak berani atau pandai untuk mengatakan bahawa suami saudari telah disihir kerana saya tidak mengetahui perkara yang sebenar.

Hakikatnya, tiada seorang pun yang boleh mengaitkan perkara yang berlaku ke atas suami saudari akibat perbuatan sihir. Sihir memang wujud dan ia merupakan perkara ghaib. Nama atau istilah sihir itu sendiri bermakna sesuatu yang disembunyikan atau tersembunyi daripada orang ramai. Jika yang berlaku ke atas suami saudari itu sihir, sudah tentu dilakukan secara sulit dan penuh rahsia. Jika rahsia, bagaimanakag para pengubat boleh mengatakan ia adalah sihir. Jika pengubat berkenaan memberitahu bahawa suami saudari terkena sihir, maka ertinya dia mengetahui perkara ghaib.

Saya pernah menjelaskan dalam ruangan sebelum ini, manusia tidak akan mengetahui parkara yang ghaib kerana Allah SWT berfirman dalam surah al-Naml ayat 65 yang bermaksud:

“Katakanlah lagi “Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!” dan mereka tidak menyedari bilakah mereka akan dibangkitkan semula.”

Firman Allah SWT lagi dalam surah al-Jin ayat 26 yang bermaksud:

“Tuhan sahajalah yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak mendedahkan perkara yang ghaib itu kepada sesiapapun.”

Dalam peristiwa lain, sebuah hadith sahih menceritakan bahawa Rasulullah SAW disihir oleh seorang Yahudi yang bernama Labid bin al-A’sam dan baginda sendiri tidak mengetahui baginda disihir sehinggalah diberitahu oleh Jibrail AS. Jika Rasulullah SAW sendiri tidak mengetahui baginda terkena sihir, mana mungkin manusia biada mengetahui seseorang itu telah menjadi mangsa sihir?

Oleh itu saya berpendapat bahawa kes saudari ada kaitannya dengan permasalahan suami isteri.

Ada kalanya saya bersetuju apa yang dipaparkan oleh saudari ada kena mengena dengan sihir. Salah satu senario sihir adalah seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 102 yang bermaksud:

“…Dalam pada itu ada yang mempelajari ilmu sihir daripada Harut dan Marut, dengannya boleh menceraikan antara suami dan isteri…”

Ayat ini jelas menunjukkan wujudnya ilmu sihir dan antara perkara yang boleh berlaku dengan izin Allah SWT adalah permusuhan, melaga-lagakan sehingga berlaku perceraian antara suami dan isteri.

Apa yang saudari alami adalah hubungan renggang yang merosakkan fungsi perkahwinan. Seolah-olah telah hilang kemesraan, dan kasih sayang sudah bertukar kepada permusuhan dan permasalahan yang membawa kepada keadaan yang tidak diingini.

Kejadian seperti ini tidak semestinya berlaku akibat daripada sihir atau perbuatan orang bahkan jika tidak kerana sihir pun perkara sebegini memang boleh terjadi ke atas pasangan lain. Mungkin antara sebabnya adalah suami mati pucuk (sebagai contoh), malu untuk memberitahu isterinya, lalu bersikap dingin dan menyalahkan orang lain, kononnya dia telah disihirkan.

Ataupun suami hilang minat kepada isteri disebabkan kelemahan-kelemahan isteri yang tidak dalam diatasi oleh suami serta tidak mahu berbincang. Atau disebabkan perangai isteri yang keterlaluan hingga menyebabkan suami menyampah kepadanya.

Mungkin juga berlaku sebab lain seperti campur tangan pihak ketiga yang memyebabkan suami hilang minat terhadap isteri.

Saya tidak bermaksud untuk meletakkan hal-hal itu berlaku kepada saudari. Saya sekadar ingin mengajak saudari dan kepada semua yang menghadapi kes sebegini hendaklah melihat faktor-faktor fizikal yang melanda kehidupan kita.

Sekalipun berlaku apa yang saudari sebutkan tadi, ubatilah masalah itu dengan bersungguh-sungguh tanpa menganggap itu perbuatan sihir. Kemungkinan hal seperti ini berlaku disebabkan gangguan syaitan yang tidak disuruh oleh sesiapa atau bukannya ilmu sihir yang berasosiasi dengan makhluk halus.

Sememangnya syaitan itu musuh utama yang sentiasa berusaha memporak-perandakan kehidupan anak Adam. Walaupun demikian ia tidak dikatakan sihir meskipun ada tanda seperti sihir.

Jika kita mudah menganggap sesuatu itu sebagai sihir, makan akan menimbulkan satu lagi penyakit iaitu sakit hati kepada orang yang melakukan sihir. Malah lebih malang lagi, sekiranya ada yang menuding jari dengan mengatakan bahawa “si pulan itu membuatnya, si anu itu membuatnya” atau lebih dahsyat lagi dengan mendakwa jiwan, kawan sepejabat atau orang terdekat melakukannya.

Saudari perlu cuba mengubati penyakit ini seperti berusaha berjumpa orang yang diyakini boleh menolong dan yakinlah, tiada penyakit yang tiada penawarnya. Sekurang-kurangnya saudari dan suami berdoa ke hadrat Allah SWT agar disembuhkan, beramal dengan ayat-ayat al-Quran seperti yang tersebut dalam hadith-hadith sahih.

Sebuah hadith yang diriwayatkan daripada ‘A’isyah RA yang menyatakan bahawa Nabi SAW menyuruh ahli keluarganya beramal dengan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas dan Ayat Kursi. Saudari dan suami boleh menambah dengan membaca 11 ayat daripada surah al-Baqarah iaitu ayat 1 hingga 5, ayat 255 hingga 257, ayat 284 hingga 286.

Usahakanlah berbuat demikian. Lakukan cara yang disarankan oleh syarak untuk mengubati penyakit suami saudari.

Petikan daripada buku “Menjawab Persoalan Makhluk Halus” bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.