Gangguan Syaitan Dalam Solat

3,266

Imam Muslim meriwayatkan di dalam kitab sahihnya, “Daripada Abul’Ila’, bahawa Usman bin Abul Ash RA berjumpa Rasulullah SAW dan berkata, ‘Sesungguhnya syaitan telah berhasil menghalang saya daripada bersolat dan bacaan saya, dia membuat saya ragu.’ Maka Rasulullah SAW bersabda:

Itu ialah (gangguan) syaitan yang bernama Khanzab, apabila kamu merasakannya, mintalah perlindungan kepada Allah dari gangguannya, dan meludahlah ke sebelah kirimu tiga kali.”

Usman bin Abul’Ash meneruskan, ‘Setelah itu saya pun melakukannya, maka Allah menghilangkan gangguannya pada saya’. Ibid: (14/190)

Perhatian:

Dalam kitab Ihya’ Ulumuddin Ihya’: (Hal.1387) Imam Ghazali menyebutkan hadis ini daripada Amr bin Asha dan Dr. Sayyid Al-Jamili “As-Sihru wa Tahdhirul Arwah”: (Hal.85) mengikuti pendapatnya : Namun ini ialah suatu kesalahan. Oleh itu berhati-hatilah.

Imam Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan di dalam As-Sahihain sebuah riwayat Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Apabila salah seorang di antara kamu melaksanakan solat, syaitan akan menghampirinya dan dia akan membuatnya ragu sehingga dia tidak mengetahui sudah beberapa rakaat dia solat. Apabila salah seorang di antara kamu menemukan hal tersebut, hendaknya dia melakukan sujud  dua kali ketika dia masih duduk tahiyat (sujud sahwi).” HR Bukhari dalam Fathul Bari: 3/104 dan Muslim dalam Syarh Sahih Muslim: 5/75

Ketahuilah, sesungguhnya syaitan menggoda orang yang sedang bersolat hanya melalui dari dua pintu.

Pintu pertama: Hal-hal yang boleh ditangkap oleh pancaindera yang nampak, seperti orang yang solat yang mendengar suara yang kuat sehingga dia lalai dan terleka dari solatnya. Atau seperti orang solat yang pandangannya tertuju kepada sesuatu yang menakjubkannya, seperti perhiasan yang cantik dan pelbagai lagi. Pintu masuk seperti ini dapat ditutup dengan memutuskan (menurunkan) hiasan atau gubahan yang digantungkan pada ruang solat.

Oleh itu, ketika Rasulullah SAW memakai baju berwarna hitam (merah) dan ada gambar bendera yang diberikan oleh Abu Jahm kepada baginda, lalu baginda solat dengan baju tersebut. Maka setelah solat baginda meninggalkannya dan bersabda :

Kembalikan baju ini kepada Abu Jahm, kerana dia telah melalaikan aku dari solatku. Dan bawakanlah untukku pohon mangga milik Abu Jahm.” Muttafaq ‘alaihi. Dari hadis Aisyah

An-Nasa’i meriwayatkan daripada hadis Abdullah bin Abbas RA, bahawa ketika Rasulullah SAW berada di atas mimbar, sedangkan di tangannya ada cincin, maka baginda melemparkannya seraya bersabda:

‘Cincin ini telah melekakan aku, adakalanya aku memandanginya dan adakalanya aku memandang kalian.” HR Nasa’i : (8/195) Al—Iraqi berkata : sanadnya sahih

Oleh itu, para ulama memakruhkan lukisan dan hiasan berada di dalam masjid. Sebabnya ialah ia dapat melekakan orang yang sedang melaksanakan solat.

Ibnu Khuzaimah meriwayatkan sebuah Athar, dan dia mensahihkan bahawa Umar bin Khattab RA pernah memerintahkan untuk membina masjid-masjid, dan dia mensyaratkan , “Yang dapat melindungi orang-orang daripada hujan, dan jangan sekali-kali kamu mewarnainya dengan warna kuning atau merah, kerana akan menganggu manusia.” Athar ini diberi pandangan oleh Imam Bukhari. HR Sukhari dalam Fathul Sari: 1/539

Imam Ahmad berkata, “Tidak boleh menulis sesuatu pada kiblat, kerana itu akan melalaikan orang yang sedang solat.” Al-Mughni: (2/73)

Pintu kedua: Sesuatu yang berkaitan dengan hati. Barang siapa yang memenuhi hatinya dengan rasa cinta kepada dunia, maka dia tidak mungkin mampu membebaskan dirinya daripada itu. Baik ketika solat atau waktu-waktu yang lain. Hal ini adalah kerana orang yang mencintai sesuatu, akan selalu memikirkannya. Dia memang melaksanakan solat, dia berdiri, rukuk, sujud, namun hatinya dilalaikan dan disibukkan dengan hal-hal dunia. Syaitan terbang bersamanya, dari satu lembah ke lembah lainnya dan dari satu angan ke angan yang lain.

Demi Allah, sesungguhnya pintu masauk yang kedua ini sangat berat. Jarang sekali orang selamat darinya kecuali orang-orang yang dikurniai panduan oleh Allah. Ubatnya hanyalah dengan mengetahui kadar dan kehinaan dunia ini, serta banyak mengucapkan doa:

“Ya Allah, jadikanlah dunia berada hanya di tangan kami, dan jangan Engkau menjadikannya di dalam hati kami.”

Seharusnya anda mengingati keagungan-Nya ketika berdiri tegak dihadapan-Nya. Dia-lah yang telah membinasakan Firaun dan meluluhkan kebengisan para durjana dan pembangkang.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.