Apakah Hukum Merawat Sihir Dengan Sihir?

830

Soalan:

Apakah hukum mengubati orang yang terkena sihir dengan melakukan pengubatan menggunakan sihir atau dengan kata lain, sihir melawan sihir? (Norsahan Mat Som, Taiping, Perak)

Jawapan:

Orang yang terkena sihir merupakan mereka yang sedang diuji oleh Allah SWT. Ikhtiar penyembuhannya hendaklah melalui cara yang dibenarkan oleh syarak iaitu seperti menggunakan rawatan dengan bacaan doa-doa yang ma’thur.

Salah satu cara pengubatan seperti yang disebutkan dalam hadith sahih ialah dengan menggunakan daun bidara yang ditumbuk dengan batu, dimasukkan ke dalam air, dan didoakan dengan doa-doa daripada ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Nabi SAW. Air tadi dibuat minum dan dimandikan ke atas pesakit.

Menggunakan sihir untuk mengubati sihir diistilahkan dalam syarak sebagai al-Nusyrah yang bermaksud mengubati sihir dengan sihir. Sihir merupakan amalan yang ditegah dan diharamkan oleh Islam kerana amalan ini membawa kepada syirik.

Ini berdasarkan hadith Jabir ibn ‘Abd Allah yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud: “Rasulullah SAW ditanya tentang hukum al-Nusyrah, maka Rasulullah SAW menjawab bahawa perbuatan itu merupakan daripada pekerjaan syaitan.”

Jelas di sini bahawa Rasulullah SAW melarang pengubatan sihir dengan sihir. Kita hendaklah memikirkan cara lain selain daripada menggunakan khidmat ahli sihir.

Jika kita mengetahui orang tersebut ahli sihir dan menggunakan khidmatnya, bermakna kita bersubahat dengan ilmu yang dilarang oleh Islam.

Banyak perkara yang boleh menjerumuskan seseorang kepada tunjuk ajar ahli sihir. Contoh yang sering berlaku dalam masyarakat, terdapat bomoh atau dukun yang meminta menyembelih seekor ayam atau seekor kambing dan menggunakan darah daripada haiwan tersebut untuk mengubati sesuatu penyakit.

Perbuatan menyembelih binatang kerana syaitan atau sihir ini jelas perbuatan yang mensyirikkan Allah SWT yang Maha Berkuasa.

Kesimpulannya, haram hukumnya mengubati sihir dengan sihir.

Petikan daripada buku Menjawab Persoalan Makhluk Halus bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.