Apakah Hukum Mempelajari & Mengamalkan Ilmu Sihir?

2,204

Soalan:

Bolehkah ustaz terangkan perkaran berikut:
a) Apakah hukum mempercayai bahawa sihir itu wujud?
b) Apakah hukum mempelajari, mengamalkan dan melaksanakannya?
(Muhammad Saidin, Padang Rengas, Perak)

Jawapan soalan (a):

Apabila dinyatakan oleh al-Quran bahawa sihir telah wujud sejak zaman dahulu kala sehingga kepada zaman Nabi Muhammad SAW, ia berlaku setiap zaman sehingga zaman kita. Kita wajib mempercayai perkara ini kerana ia turut diakui oleh al-Sunnah.

Jika kita menolak sihir dengan tidak mempercayainya, bermakna kita menolak kenyataan al-Quran dan hadith sahih. Sebagai seorang Muslim, wajib mempercayai al-Quran dan hadith bahawa sihir memang wujud dan masih ada yang mengamalkannya sehingga kini.

Jawapan soalan (b):

Ulama telah bersepakat, haram hukumnya mempelajari ilmu sihir ini. Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 102 yang bermaksud:

“Mereka mengikut ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, pada hal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajar manusia ilmu sihir dan apa sahaja yang diturunkan kepada dua malaikat; Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”. Dalam pada itu, ada juga orang-orang mempelajari daripada mereka berdua; ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isteri, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telah pun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.”

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa ilmu sihir tidak memberikan sebarang kegunaan, tidak manfaat kepada manusia. Ilmu ini mengundang kemudaratan yang amat besar iaitu syirik kepada Allah SWT kerana mereka terpaksa melakukan penyembahan kepada syaitan. Ilmu sihir ini haram dipelajari dan tidak boleh diamalkan kerana sihir ialah ilmu untuk mengkhianati dan mengganggu manusia.

Petikan Daripada Buku ‘Menjawab Persoalan Makhluk Halus‘ oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.