Bolehkah Menggunakan Tangkal Yang Ditulis Ayat Al-Quran

1,664

Soalan:

Saya pernah bertanya beberapa orang ustaz tentang penggunaan tangkal yang ditulis ayat-ayat al-Quran dan dipakai untuk berlindung diri daripada kejahatan jin dan manusia. Bolehkah saya menggunakannya? – Khairul Fariz Lazim, Sabak Bernam, Selangor

Jawapan:

Pada zaman permulaan Islam, amalan memakai tangkal untuk berlindung dari kuasa jahat merupakan amalan biasa bagi kebanyakan masyarakat Jahiliah.

Rasulullah SAW telah mengharamkan penggunaan tangkal dan menggantikannya dengan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa khusus untuk memohon daripada Allah SWT untuk menghindari diri daripada sesuatu yang tidak diingini.

Dalam Musnad Imam Ahmad, daripada Uqbah ibn ‘Amir al-Juhani, Rasulullah SAW telah bersadba

Maksudnya: “Sesiapa yang menggantung tangkal maka sesungguhnya dia telah melalukan perkara syirik”.

Hadith ini memberi pengertian yang umum, Pernah sahabat yang menerima ayat-ayat al-Quran untuk amalan menghindari daripada gangguan, khasnya makhluk halus menulis ayat-ayat itu di kertas untuk digantungkan kepada anak-anak mereka yang belum pandai membaca al-Quran.

Apabila perkara ini sampai kepada Rasulullah SAW, baginda tidak melarang. Oleh kerana itu, ada sebahagian pendapat yang mengatakan harus memakai tangkal yang ditulis ayat-ayat al-Quran.

Ulama-ulama muktabar berpendapat seperti yang disebut dalam kitab al-Fatawa al-Dhahibiyyah (Fatwa-fatwa yang amat berharga), “Adapun penulisan ayat-ayat al-Quran dan nama-nama Allah SWT untuk dijadikan tangkal, maka ulama berselisih pendapat. Di kalangan ulama salaf ada yang mengharamkannya secara mutlak dan ada sedikit yang mengharuskannya dengan syarat-syarat khusus”.

Pendapat yang paling sahih, penggunaan tangkal sama ada al-Quran atau tidak adalah dilarang dalam hadith-hadith terdahulu, sedangkan keharusan yang Rasulullah SAW sebutkan pada para sahabat itu semasa permulaan Islam. Demi mengelak daripada keburukan-keburukan yang boleh menjejaskan iman, penggunaan tangkal dilarang sama sekali walaupun menggunakan ayat al-Quran kerana:

  1. Mencegah daripada keburukan yang lebih besar.
  2. Menjaga kesucian al-Quran daripada terbawa ke dalam tandas.
  3. Membulatkan keyakinan bahawa Allah SWT yang melindungu manusia daripada segala-galanya.

Wallahu A’lam.

Petikan Daripada Buku ‘Menjawab Persoalan Makhluk Halus‘ oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.