Apakah Hukum Memakai Tangkal?

2,947

Soalan:

Saya seorang pelajar dalam pengajian peringkat siswazah lanjutan. Datuk saya membekalkan saya satu tangkal yang di dalamnya dilukis rajah-rajah tertentu dan ditulis huruf alif ba ta, bercampur aduk dengan angka-angka tertentu seperti tulisan Arab untuk saya pakai bagi mengelak daripada kejahatan manusia. Datuk saya berpesan agar jangan minta perlindungan daripada tangkal tersebut tetapi mintalah kepada Allah SWT. Tambahnya lagi, tangkal itu hanya ikhtiar. Datuk saya sudahpun menggunakan tangkal tersebut dan menurutnya telah memberikan kesan yang mujarab. Bolehkah saya memakai tangkal itu? (Arizal Sulaiman, Shah Alam)

Jawapan:

Permasalahan tangkal adalah masalah yang telah lama bertapak dalam masyarakat Arab jahiliah awal hingga meresap masuk ke alam Melayu. Penggunaannya diterima pakai dan diamalkan oleh masyarakat dahulu hinggalah kepada masyarakat moden.

Apa yang dilakukan oleh datuk saudari adalah sebahagian daripada kepercayaan masyarakat lama yang masih diamalkan dalam masyarakat Melayu. Ketika Rasulullah SAW mula menyebarkan Islam kepada masyarakat Arab dan apabila mereka memeluk agama Islam, mereka masih memakai tangkal.

Dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibn Majah, Imam Ahmad al-Hakim dan al-Baihaqi, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya jampi mantera (yang tidak Islamik) dan tangkal-tangkal serta ilmu pengasih adalah syirik.”

Jelas dalam hadith di atas bahawa tangkal atau istilah asalnya tamimah atau tama’im adalah satu usaha manusia menggunakan benang, tali atau sebagainya dan dipakai di pinggang, di leher, di tangan atau anggota-anggota lain dengan tujuan untuk menjadikan sebagai pelindung seperti yang datuk saudari sebutkan.

Para ulama Islam bersepakat bahawa pemakai tangkal seperti ini haram dan boleh membawa kepada syirik atau dikategorikan sebagai berdosa besar. Berhubung dengan peringatan bahawa “tangkal hanya ikhtiar”, ungkapan tersebut adalah mengelirukan kerana niat yang baik tidak boleh menghalalkan cara yang haram.

Saya umpamakan alasan ini sama seperti orang yang berniat hendak ke Makkah, tetapi tiada wang. Dia mencuri wang untuk ke Makkah. Contoh lain, hendak berkahwin tetapi tidak cukup wang lalu mengambil rasuah untuk menyempurnakan perkahwinan. Sudah tentu perbuatan itu menjadi haram walaupun tujuannya baik.

Pemakaian tamimah atau tangkal adalah haram dan berdosa besar kerana kita tidak menjadikan makhluk yang bernama tangkal sebagai penjaga daripada sesuatu yang tidak diingini.

Dalam Islam sudah jelas tiada sesuatu pun yang boleh memberi manfaat atau mudarat kepada manusia melainkan kudrat dan iradat Allah SWT sahaja.

Tangkal tidak boleh menjaga manusia. Jika dibakar ia akan hangus. Digunting atau ditarik nescaya ia akan putus. Hakikatnya ia tidak bernyawa, tidak bergerak. Sudah tentu ia tidak boleh menolong kita. Jika datuk saudari beranggapan bahawa ia membantu, sebenarnya Allah SWT lah yang memeliharanya, tetapi kebetulan pada masa yang sama dia memakai tangkal.

Sekiranya berlaku sesuatu yang amat ganjil kepada si pemakai tangkal dan ingin mengaitkan bahawa tangkal itu memberi kesan, ada kemungkinan tangkal itu didiami oleh makhluk halus yang jahat dan mengambil kesempatan untuk menyesatkan manusia dengan melakukan perkara-perkara yang aneh dan ganjil untuk meyakinkan manusia kepada keunikan tangkal itu.

Jika perkara ini berlaku, manusia telah terjebak ke dalam perangkap syaitan dan Iblis yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia daripada jalan Allah SWT dengan menggunakan tangkal sebagai suatu wadah bagi menjayakan matlamat mereka untuk menyesatkan manusia.

Nasihat saya, jangan sesekali memakai tangkal. Berharap dan bermohonlah hanya kepada Allah SWT untuk berlindung diri daripada perkara yang tidak baik. Bacalah ayat-ayat yang dikenali sebagai al-Mu’awwidhat iaitu surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas.

Petikan Daripada Buku ‘Menjawab Persoalan Makhluk Halus‘ oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.