Adakah Qarin & Saka Itu Sama? Bagaimanakah Cara Mengatasi Gangguan Mereka?

5,941

Saka adalah suatu istilah yang kebiasaannya digunakan oleh mengubat atau bomoh tradisional yang merujuk kepada suatu fenomena gangguan spiritual yang berlaku ke atas manusia. Kebanyakkannya gangguan ini berlaku ke atas kaum wanita namun kaum lelaki juga tidak terkecuali. Saka ini dikaitkan dengan makhluk yang kononnya diamanahkan untuk menjaga seseorang. Bagi tujuan tersebut, berbagai-bagai gangguan spiritual berlaku. Gangguan seperti ini dikenali sebagai gangguan makhluk halus.

Saka ini kononnya dikaitkan dengan makhluk yang berdampingan dengan keturunan bapa, ibu, datuk atau nenek seseorang yang menjaga atau bersahabat dengan makhluk ini. Makhluk tersebut dipesan supaya menjaga dan mengawal anak cucu mereka selepas kematian individu mereka.

Hasil perjanjian itulah berlakunya masalah gangguan spiritual yang diistilahkan sebagai saka.

Saya tidak dapat menentukan tentang saka secara tepat sama ada betul atau tidak saka ini makhluk yang mendampingi manusia dan keturunan mereka sehingga mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Jika benar saka (makhluk halus) itu sahabat, kawan atau pendamping orang-orang terdahulu, sepatutnya makhluk ini tidak berubah perangai. Saka dipesan untuk menjaga dan melindungi anak cucu seseorang, namun tiba-tiba berlaku sebaliknya, sehingga menyakiti dan mengganggu seseorang sehingga menyebabkan keturunan mereka menjadi separuh gila atau separuh sedar.

Jika betullah itu saka, saka sebenarnya tidak akan menimbulkan masalah dan mengganggu keturunan tuannya. Walaupun begitu, syariat Islam tetap melarang keras bersahabat, berbuat baik, berdampingan dengan makhluk halus walau apa sahaja tujuannya.

Banyak ayat al-Quran yang menggesa manusia supaya menjauhi dan berlindung diri daripada syaitan kerana syaitan ialah musuh yang nyata bagi umat manusia.

Bebalik kepada seseorang yang diganggu oleh makhluk halus, sudah jelas makhluk tersebut ialah musuh kerana menyakiti, mengganggu dan melakukan perkara yang tidak diingini oleh manusia. Kesemua perlakuan itu memberikan kesan yang negatif kepada manusia.

Kita wajib menjauhi mereka. Saka sememangnya bukan sesuatu yang baik kepada manusia. Ia hendaklah dirawat secepat mungkin dengan cara-cara yang diharuskan oleh syarak bagi mengelakkan saka ini terus-menerus mengganggu manusia.

Berkenaan dengan qarin, ia adalah istilah yang jelas disebut oleh Allah SWT dalam al-Quran. Antara ayat yang menyebut tentang qarin seperti dalam surah Fussilat ayat 25 yang bermaksud:

“Dan kami tetapkan untuk mereka teman-teman rapat (dari jin dan manusia) lalu teman iu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara akhirat yang berada di belakang mereka, dan (dengan sebab itu) tetaplah hukuman (azab) atas mereka bersama-sama dengan umat-umat (yang sesat) dari jin dan manusia yang terdahulu daripada mereka. Sesungguhnya mereka semuanya adalah golongan yang rugi (bawaan hidupnya).”

Istilah teman yang disebutkan dalam al-Quran berasal daripada perkataan qurana’ atau kawan-kawan setia. Maksudnya suku-sakat syaitan atau Iblis yang menjadikan manusia sebagai teman mereka.

Firman Allah dalam surah Qaf ayat 27 yang bermaksud:

“….Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: “Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong”.

Ayat di atas merujuk kepada perkataan qarin. Allah SWT menyifatkannya sebagai kawan rapat bukanlah disebabkan manusia hendak sangat berkawan dengan mereka, tetapi menurut pandangan beberapa ulama, terdapat makhluk halus yang mendampingi manusia sejak dilahirkan. Makhluk tersebut mengajak, memandu serta mempengaruhinya melakukan kejahatan. Itulah yang dimaksudkan sebagai qarin.

Dalam hadith daripada Ibnu Mas’ud RA yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawasannya Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Setiap orang daripada kamu, ada bersama dengannya qarin (syaitan) daripada jin. Sahabat bertanya, apakah kamu juga wahai Rasulullah (mempunyai qarin)? Bagainda menjawab: Ya, saya pun ada qarin itu, cuma Allah SWT membantu saya, dapat mempengaruhi qarin itu sehingga dia telah pun Islam dan dia berdamping dengan saya, dia tidak mendorong saya membuat sesuatu melainkan semuanya untuk kebaikan.”

Hadith daripada ‘A’isyah RA berkata, “Ketika Rasulullah SAW berada bersama dengan saya, baginda keluar meninggalkan saya kerana ada suatu urusan pada malam hari. Tiba-tiba muncul cemburu dalam hati saya. Apabila Rasulullah SAW kembali menemui saya, baginda mengetahui perasaan saya itu, maka baginda bertanya, apakah gerangan mu wahai ‘A’isyah? Adakah kamu cemburu? Maka saya menjawab, manalah orang seperti saya ini tidak cemburu ke atas mu wahai Rasulullah SAW. Maka Rasulullah SAW menyebut kepada saya, apakah kamu telah dikuasai oleh syaitanmu wahai ‘A’isyah. Maka saya menjawab, ya Rasulullah, adakah bersama saya ada syaitan? Rasulullah SAW menjawab ya, malah pada tiap-tiap insan ada syaitannya. Saya bertanya kepada Rasulullah SAW, Adakah kamu juga ada syaitan? Jawab baginda, ya, tetapi Allah SWT telah membantuku, aku Islamkan dia dan tidak menyuruhku melainkan untuk kebaikan”.

Hadith-hadith sebegini adalah hadith sahih yang menunjukkan qarin itu sebenarnya ialah syaitan yang mendampingi semua manusia. Sekiranya Rasulullah SAW pun di dampingi oleh qarin ini, inikan pula kita insan biasa.

Oleh yang demikian, jelaslah qarin ini wujud pada setiap orang dan peranan qarin ini bergantung kepada seseorang insan itu. Jika qarin belum boleh menguasai dirinya dengan kerja-kerja kejahatan sehingga tidak ada ruang untuk melakukan kemaksiatan, qarin ini seolah-olahnya berputus asa untuk mengajaknya melakukan kejahatan, melainkan sekali-sekala sahaja.

Adapun orang yang mudah mendedahkan dirinya kepada perbuatan maksiat, qarin inilah yang menjadi pendorong utama. Pada pandangan saya, qarin ialah makhluk halus yang jahat.

Tidak salah sekiranya mengatakan kita semua ada saka, tetapi saka yang saya maksudkan ialah saka yang sedia ada, bukan yang dipelihara oleh keturunan, bukan disuruh oleh seseorang melakukannya tetapi kerana tabiat makhluk ini memang sentiasa berusaha menjerumuskan manusia kepada kejahatan.

Wallahu A’lam.

Petikan Daripada Buku ‘Menjawab Persoalan Makhluk Halus‘ oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.