13 Sifat Mazmumah

12,033

Sifat-sifat negatif dapat dikenali melalui sifat keji dan kotor yang ada pada manusia. Dalam istilah ilmu tasawuf sifat-sifat negatif ini dikatakan sifat mazmumah. Di antaranya:

  1. Gila nama
  2. Menunjuk-nunjuk
  3. Sombong
  4. Dengki
  5. Rasa diri hebat
  6. Gila puji
  7. Pemarah
  8. Dendam
  9. Bakhil
  10. Penakut
  11. Tamak harta
  12. Banyak makan
  13. Mengumpat

Sifat-sifat negatif ini melekat di hati seperti daki melekat di badan. Kalau anda malas menggosok, akan tambah menebal dan kuatlah ianya bertapak. Kalau dah begitu badan anda akan busuk. Bahkan baunya juga akan mengganggu orang lain.

Sebaliknya, kalau anda rajin meneliti dan menggosoknya maka akan bersihlah jiwa. Bagaimana untuk membuang sifat negatif bukanlah mudah seperti membuang daki di badan.

Ianya memerlukan latihan jiwa yang tubi, didikan yang berterusan dan tunjuk ajar yang berkesan dari seorang yang pakar dalam bidang kejiwaannya ini. Dalam istilah tasawuf pakar ini dipanggil guru mursyid. Guru mursyif adalah guru yang dapat menyelami dan membaca jiwa muridnya hingga tahu apakah kekurangan dan kelebihan murid itu.

Malangnya di akhir zaman ini untuk mendapatkan guru begini sangatlah sukar. Umpama seperti satu dalam ribuan jita. Olehitu usahakanlah mencari seorang guru mursyid yang ikhlas dan dapat membimbing diri anda.

Walaupun begitu bagi orang yang mempunyai keazaman yang kuat untuk membersihkan jiwanya, dia sanggup berusaha sendiri demi kesempurnaan peribadinya.

Sifat Kedekut

Kalaulah dia sedar dia bersifat kedekut makan dia berazam untuk mengikis sifat negatif itu. Caranya, ia akan cuba membiasakan dan memperbanyakkan sedekah, derma dan hadiah yang terbaik untuk orang lain.

Sifat kedekut bukan sahaja ada pada orang kaya, bahkan orang miskin pun tidak mustahil dihinggapi sifat kedekut.

Di waktu-waktu terasa sifat kedekut itu terasa kuat bergantung di hati, waktu inilah perlawanan mesti perhebatkan. Keluarkan dan berikan kepada orang yang memerlukannya.

Katakanlah anda didatangi peminta derma kebajikan. Di waktu itu anda hanya ada RM5.00. Waktu itu paksakan hati keluarkan separuh dari yang ada. Tentulah berat, tapi keluarkan juga. Insya-ALLAH, kalau sikap begini anda selalu amalkan rasa kedekut akan ditumpaskan dari jiwa anda.

Sifat Sombong

Sifat sombong, rasa hebat daripada orang lain ini juga perlu ditumpaskan dan ditundukkan. Caranya, anda mesti cuba merendah diri dengan memaksa hati untuk merasa dan mengakui kelemahan anda sebagai manusia biasa. Dalam perselisihan misalnya, cuba rasakan kesalahan itu dari pihak anda. Akui anda juga bersalah. Bukankah ada pepatah mengatakan, ‘berkepuk tangan sebelah masakan berbunyi.’

Kalau anda mampu dan berani mengakui kesalahan maka akan mampu pula anda minta maaf. Dan hanya meminta maaflah kesalahan atau dosa sesama manusia dapat diselesaikan.

Kalau anda orang atasan, biasakan diri bergaul dengan orang bawahan anda. Duduk berbual-bual, makan minum dan tidur baring dengan mereka.

Firman Allah SWT:“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia kerana sombong dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak suka seseorang yang sombong lagi membangga diri. (Luqman: 18)

Allah SWT berfirman lagi: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah satu golongan menghina golongan yang lain kerana boleh jadi mereka yang dihina lebih baik dari mereka yang menghina. Dan jangan pula wanita menghina wanita yang lain, boleh jadi wanita yang dihina lebih baik dari wanita yang menghina.” (Al-Hujurat: 11)

Itu dua contoh yang boleh anda jadikan panduan untuk membersih jiwa anda. Memanglah ujian dari Allah SWT yang selalu menimpa anda seperti miskin, sakit, kematian, lemah, bodoh, hasad dengki orang dan lain-lain kesusahan penderitaan adalah peluang sebenarnya untuk Allah SWT berikan pahala untuk bersabar membentuk peribadi yang baik.

Apabila nafsu terhimpit dengan berbagai kesusahan ertinya nafsu dicabar. Ianya terseksa dan menderita, setiap kali ditimpa ujian. Sama ada orang itu Islam atau kafir selagi manusia dia tetap merasakan begitu. Bagi orang Islam apa sahaja ujian yang menimpanya kalau ia sabar dan redha dengan ujian itu maka pasti akan dapat satu daripada dua:

  1. Penghapusan dosa
  2. Kasih sayang Allah SWT dan darjat di Syurga.

Waktu diujilah masa terbaik untuk anda membentuk peribadi anda. Dan terujilah sikap anda, sama benar-benar anda bersabar atau hanya berpura-pura atau hipokrit sahaja.

Oleh itu berusahalah bersungguh-sungguh, sabar, tabah dan istiqamah menumpaskan sifat-sifat negatif dalam diri anda dan berdoalah selalu.

Baca seterusnya di sini

Baca sebelumnya di sini

Get real time updates directly on you device, subscribe now.