Bolehkah Manusia Berkahwin Dengan Jin?

1,174

Seperkara yang jelas kepada kita bahawa makhluk ini wujud dan boleh menyerupai rupa bentuk yang mereka kehendaki dengan izin Allah SWT. Persoalannya sama ada boleh atau tidak manusia berkahwin dengan makhluk halus?

Daripada sumber sejarah, banyak yang kita dengar bahawa Puteri Balqis ialah seorang raja pada zaman Nabi Sulaiman AS. Bapanya manusia sementara ibunya Balqmal binti Saisan dari kalangan jin.

Dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Salah seorang daripada ibu bapa Balqis adalah Jin”

Berbalik kepada masalah hukum, Allah berfirman dalam surah al-Nahl ayat 72 yang bermaksud:

“…Dan Allah menjadikan bagi kamu dari jenis kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri)…”

Firman Allah SWT dalam surah al-Rum ayat 21 yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat Allah, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bahagia dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan”

Kedua0dua ayat ini boleh difahami dengan mudah bahawa pasangan hidup manusia adalah manusia juga, barulah akan wujud ketenangan, kasih sayang, tambatan hati dan sali percaya-mempercayai.

Bayangkan sekiranya isteri kita dari kalangan makhluk halus yang tidak boleh dilihat oleh orang lain dan hanya kita sahaja yang mampu melihatnya, atau mungkin kita pun tidak dapat melihatnya. Apakah yang akan terjadi dengan rumah tangga kita?

Hadikth yang diriwayatkan oleh Yunus bin Yazid daripada al-Zuhri katanya, Rasulullah SAW menegah manusia mengahwini jin.

Berpandukan kepada ayat dan hadith yang disebutkan, jumhur ulama berpendiri tidak harus manusia mengahwini jin. Jika berlaku berkahwinan, maka perkahwinan itu tidak sah. Sekiranya berlaku perhubungan jenis, mereka bersekedudukan dalam keadaan haram.

Akan tetapi, Imam Malik bin Anas berpendapat perkahwinan itu makruh dan ada ulama yang bersependapat dengan Imam Malik. Namun begitu ikatan perkahwinan adalah suatu yang kudus dan syarat sah perkahwinan yang paling penting adalah agama.

Jika jin itu bukan Islam maka perkahwinan tidak sah. Jika dikatakan jin itu Islam, bagaimana kita hendak memastikan ke Islamannya? Adakah dengan pengakuan mulut sahaja ke Islamannya boleh diterima?

Jika dikatakan jin itu mempunyai ilmu Islam yang tinggi, sama juga dengan manusia yang mengkaji Islam, tetapi tidak Islam. Malah terdapat sarjana Barat yang banyak menghafal al-Quran, menghafal hadith dan mengetahui banyak hukum terutamanya golongan Orientalis tetapi mereka tidak memeluk Islam. Sekiranya perkara ini boleh berlaku di alam manusia, tidak mustahil perkara ini juga berlaku di alam jin.

Petikan Daripada Buku ‘Menjawab Persoalan Makhluk Halus‘ oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.