Bagaimanakah Mencegah Penyakit Bawaan Makhluk Halus?

1,420

Soalan :

Apakah cara-cara yang disarankan oleh syarak agar manusia boleh menghindar atau mengubati penyakit-penyakit yang disebabkan oleh makhluk halus? Apakah saranan atau petunjuk daripada Rasulullah SAW? (Hamdan Zaidi, Mersing)

Jawapan :

Al-Quran menerangkan makhluk halus berupaya memudaratkan manusia disebabkan lazimnya mereka menganggap manusia adalah musuh mereka. Apabila hidup bermusuhan, maka berbagai-bagai masalah akan timbul dalam masyarakat manusia.

Islam sebagai agama yang syumul telah mengajar manusia pelbagai ilmu termasuklah ilmu untuk menghindarkan diri daripada gangguan makhluk halus sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran khususnya tiga surah yang terakhir dalam al-Quran iaitu surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas.

Aisyah RA menyatakan bahawa Rasulullah SAW telah mengajarnya supaya membaca ketiga-tiga surah tersebut sambil menadah tangan seperti berdoa. Selepas habis bacaan itu, tiup pada tapak tangan. Kemudian sapulah kedua-dua tapak tangan itu ke seluruh badan sebagai suatu permohonan perlindungan daripada Allah SWT ketika hendak tidur.

Surah al-Ikhlas memberi mesej bahawa kita hendaklah membulatkan keimanan kepada Allah Yang Esa tanpa sebarang keraguan dan kepada Allah SWT sahajalah tempat memohon segala pertolongan.

Manakala surah al-Falaq pula adalah untuk memohon perlindungan daripada Allah SWT yang mengatur semua makhluk, supaya dihindari daripada semua kejahatan makhluk-Nya, sama ada kejahatan pada waktu kegelapan malam, kejahatan tukang ishir yang meniup dengan nafasnya ataupun daripada orang yang berhasad dengki.

Sementara surah al-Nas pula adalah untuk memohon perlindungan daripada bisikan dan kejahatan syaitan yang sentiasa mengajak manusia melakukan pelbagai perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT.

Ketiga-tiga surah ini digunakan untuk menghindari atau mengubati manusia yang terkena buatan makhluk halus.

Dalam sebuah hadith sahih, Nabi Muhammad SAW pernah cuba disihir oleh seorang Yahudi yang bernama Labid bin al-A’sam. Jibrail AS datang mengajar Nabi bagaimana hendak menghindari dan mengubati sihir tersebut iaitu membaca al-Mu’awwidhat (tiga surah tadi) dengan dijadikan amalan atau bacaan setiap hari. Selain itu, amalkanlah Ayat Kursi dan sebagainya.

Maka dengan ini sudah jelas, bahawa Islam mempunyai cara untuk mengatasi masalah yang saudara sebutkan.

Petikan Daripada Buku ‘Menjawab Persoalan Makhluk Halus‘ oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.