Apakah Jenis Penyakit Bawaan Makhluk Halus?

2,628

Berdasarkan kepada nas-nas yang sahih, khususnya daripada al-Quran dan sunnah nabawiyyah bahawa Allah SWT menjelaskan makhluk halus seperti jin, Ifrit dan sebagainya boleh menyebabkan pelbagai penyakit ke atas anak Adam dalam keadaan dan masa tertentu.

Antara penyakit itu adalah seperti yang disebut dalam surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud: “Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapay berdiri betul (ketika bangkit dari kubur mereka) melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan (disebabkan penyakit gila yang menyerang mereka)”

Istilah yang Allah SWT gunakan dalam ayat tersebut ialah al-Takhabbut yang bermakna dipukul dengan kuat atau dicederakannya.

Surah al-A’raf ayat 201, Allah SWT menggunakan perkataan al-Mass: Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa waswas daripada syaitan, mereka ingat (kepada Allah), makan dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).”

Manakala dalam surah al-Mujadalah ayat 19, Allah SWT menggunakan perkataan istahwaza. Maksudnya: “Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi.”

Perkataan istihwaaz daripada istahwaza bermaksud syaitan boleh menguasai dan mengalahkan manusia sehingga mereka tidak sedarkan diri atau lupa segala-galanya.

Berdasarkan surah al-A’raf ayat 200, syaitan boleh mengenakan kepada manusia al-Nazghu atau menipu dan menghasut untuk melakukan kejahatan. Ertinya golongan syaitan boleh menipu dan menghasut manusia sehingga kepada perbuatan membunuh.

Syaitan boleh mengenakan al-Nasb seperti yang disebut dalam surah Sad ayat 41 yang bermaksud: “Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba kami Nabi Ayub ketika Dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata, “Sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan kepayahan dan seksaan penyakit.”

Perkataan nusbin membawa maksud penat atau letih yang amat sangat. Jelaslah disini bahawa kepenatan, keletihan, kesusahan dan azab sengsara boleh dilakukan oleh makhluk halus berdasarkan ayat-ayat yang disebutkan tadi.

Petikan Daripada Buku ‘Menjawab Persoalan Makhluk Halus‘ oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.